Tuesday, August 24, 2010

23 August 2010

Ibu menunggu Umar agak lama di depan rumah Mak kerana Mak sedang membersihkan Umar. Ibu lihat wajah Umar macam lain dari lain tetapi Ibu tidak pasti kenapa. Pulang ke rumah, Umar bermain-main sendirian sambil Ibu memasak Kung Pao Chicken. Mujurlah Umar tidak mengganggu Ibu memasak seperti selalu. Ada juga Umar merangkak berdekatan kaki Ibu dan memaut kaki Ibu tetapi asalkan Umar tidak menangis, Ibu membiarkan sahaja.

Setelah siap memasak, Ibu ingin menyuap Umar makan tetapi seperti hari sebelum-sebelumnya, Umar mengamuk dan dengan sekuat tenaga ingin melepaskan diri dari Ibu. Sebenarnya Ibu sangat kecewa dan agak marah melihatkan perangai Umar begitu. Umar menangis sekuat hati dan biarpun Ibu menyuap juga bubur ke mulut Umar, Umar tidak mahu menelan. Kadang-kadang Ibu pelik kenapa Umar bersikap begitu dan tidak mahu makan apabila dengan Ibu. Hampir jua menitis air mata Ibu kerana Ibu sedih diperlakukan begitu oleh Umar.

Ibu juga sedih kerana Umar tidak mendengar kata Ibu. Apabila dipujuk, Umar tetap juga menangis dan mengamuk. Umar tidak menghiraukan Ibu dan walaupun dimarahi Ayah, Umar tetap keras hati tidak mahu makan. Apabila disuakan susu Ibu, baru Umar dengan laju minum susu Ibu. Ibu sebenarnya sangat sedih tetapi Ibu tidak tahu kenapa Umar bersikap begitu. Bersama Mak, Umar makan dengan berselera sekali. Tetapi dengan Ibu, Umar tidak mahu makan langsung.

Adakah kerana Umar ingin membalas dendam dengan meminum susu Ibu sahaja? Sedangkan Ibu datang menyusukan Umar semasa tengahari. Selepas Umar penat bermain, Ibu menidurkan Umar di dalam buai. Umar tidur setengah jam tetapi bangun semula dan tidak mahu tidur. Ibu telah pun tertidur dan Umar bermain sendirian. Entah pukul berapa Umar tidur, Ibu tidak pasti. Apa yang Ibu tahu, Umar mengganggu tidur Ibu dan menangis sahaja sepanjang malam seolah-olah tidak puas menyusu. Ibu yakin Umar lapar. Dan Ibu perasan muka dan badan Umar merah-merah seolah-olah ruam. Kerana itu agaknya Ibu lihat muka Umar lain dari biasa.

Bangun pagi, Umar menangis sahaja sehingga menyukarkan Ibu untuk bersiap ke tempat kerja. Kadang-kadang Ibu stress kerana Umar seolah-olah tidak mahu berenggang langsung dengan Ibu. Apabila perkara ini diajukan kepada kawan Ibu, kawan Ibu mengusulkan agar Umar ada adik dan kemanjaan Umar semakin berkurangan. Umar akan menjadi lebih matang apabila ada adik. Perkara itu seolah-olah ada benarnya. Ibu akan fikirkan tentang itu..

No comments:

Post a Comment