Sunday, August 22, 2010

21 August 2010

Ibu dan ayah tidak cukup tidur kerana menjaga Umar yang demam. Umar tidak mahu makan nestum mahupun bubur yang Ibu sediakan. Ibu sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu memujuk Umar. Umar akan menangis dengan sekuat hati sekiranya Ibu tetap juga mahu memaksa Umar makan. Manakan Ibu tidak risau. Perut Umar mesti diisi dan Ibu juga sangat lapar kerana Umar hanya bergantung kepada susu Ibu.

Sejak malam tadi, suhu badan Umar mencecah 39.2 darjah. Kerisauan kami berganda. Ibu dan ayah mengelap badan Umar dengan air suam dan membiarkan tuala basah membaluti badan Umar. Kepala Umar juga dibaluti kain tuala yang basah. Setelah suhu badan Umar semakin berkurangan, Ibu membuka baju Umar dan membiarkan Umar diselimuti selimut agar badan Umar mula menghasilkan peluh. Ibu juga tidak memakai baju dan memeluk Umar erat agar suhu kepanasan badan Umar berpindah kepada Ibu.

Tetapi kelihatannya suhu badan Umar tidak juga berubah. Apabila menjelang malam, suhu badan Umar meningkat kembali. Ibu tiada pilihan lain, perlu juga membawa Umar ke klinik. Selepas sahaja berbuka, Ibu dan Ayah membawa Umar ke klinik. Umar agak ramah semasa di klinik dan menegur sesiapa sahaja tetapi pulang sahaja ke rumah, badan Umar kembali panas dan Ibu dan ayah sekali lagi bertungkus lumus menuam badan Umar dengan air sejuk. Kali ini Ibu memasukkan ubat ke dalam bontot Umar dan meletakkan koolfever di ketiak Umar.

Umar tidur dalam pelukan Ibu dan tidak mahu dilepaskan langsung.

No comments:

Post a Comment