Friday, August 20, 2010

20 August 2010

Bila sahaja Umar demam, Ibu mula tidak keruan. Hari ini, suhu badan Umar semakin meningkat dan badan Umar sangat panas. Ibu berat hati untuk pergi kerja hari ini tetapi terpaksa juga pergi kerana hari ini ada peperiksaan khas dan Ibu perlu menjadi pengawas peperiksaan.

Apabila menjelang waktu rehat sahaja, Ibu menerima sms dari Mak mengatakan Umar tidak mahu minum air masak juga tidak mahu makan. Ibu sememangnya sudah dalam perjalanan untuk mengambil Umar semasa pesanan ringkas dari Mak diterima. Sampai sahaja di rumah Mak, Ibu membawa Umar pulang. Lagipun rumah Mak tengah berselerak kerana terdapat kerja-kerja mengubahsuai rumah sedang dijalankan. Umar agak manja dengan Ibu dan seringkali merengek. Ibu memastikan Umar meminum susu Ibu dengan kenyang kerana Ibu perlu pergi ke tempat kerja semula.

Mujurlah hari ini hari jumaat dan waktu rehat Ibu agak panjang. Dan Umar tertidur di sebelah Ibu tetapi apabila bangun sahaja, Umar akan menangis mencari Ibu dan merengek-rengek.

Tatkala menghantar Umar ke rumah Mak, Umar menangis dengan kuat, tidak mahu ditinggalkan. Dan asyik menghulur tangan kepada Ibu. Maafkan Ibu, Sayang. Sekiranya tidak memikirkan tentang kerja, mahu sahaja Ibu terus berada di sisi Umar dan menjaga Umar. Ibu tahu Umar ingin sentiasa bersama Ibu tetapi Ibu tidak berdaya. Sebab itu, apabila Ibu pulang sahaja dari kerja, tidak pernah walau sekali Ibu membiarkan Umar terus berada di rumah orang. Walau penat sekalipun, Ibu akan memastikan Ibu mengambil Umar terlebih dahulu. Biarpun apabila sampai sahaja di rumah, banyak kerja-kerja rumah tidak dapat disiapkan kerana Umar ingin sentiasa berada dekat dengan Ibu. Tidak mengapa, Sayang kerana Umar adalah segalanya bagi Ibu. Bila Umar sudah tidur, baru Ibu akan mandi, mengemas rumah dan menyiapkan apa yang patut dan Umar tidak pernah sekali-kali menjadi beban buat Ibu tetapi Umar adalah anugerah buat Ibu.

No comments:

Post a Comment