Umar hari ini sudah semakin cerdik. Sangat cerdik, kukira. Dan aku yakin, anak-anak kecil di zaman serba canggih ini, tingkah laku mereka sentiasa memberi kejutan buat Ibu dan Ayah. Sedari kecil, walaupun belum dapat melihat dengan jelas, Umar sangat mudah tersenyum. Mulut manisnya sentiasa sahaja mengukir senyuman dan ketawa apabila diagah. Seringkali aku perasan, Umar tersenyum memandang orang lain terutamanya Ayahnya yang gemar bermain game. Walaupun kadang-kadang senyuman Umar tidak berbalas kerana tiada yang perasan Umar senyum kepada mereka, Umar tetap tidak kisah.
Sedari kecil, aku perasan Umar sangat cepat membesar. Memang pada awal kelahiran Umar, aku dan suami tidak cukup tidur kerana Umar hanya tidur di siang hari dan bangun tatkala tengah malam dan tidak akan tidur sehingga pagi. Kadang-kadang perkara ini sangat menguji kesabaran kami tetapi apakan daya, Umar adalah anak kami, Anugerah yang tidak ternilai oleh Allah S.W.T. buat Ibu dan Ayah. Walaupun penat dan tidak cukup tidur, kami menjaga Umar dengan sebaiknya dan sentiasa sabar melayan kerenah Umar.
15 hari selepas kelahiran Umar, Umar dimasukkan ke wad. Pada saat itu, Umar asyik muntah-muntah apabila meminum susu dan seolah-olah ada lendir di tekak menyebabkan Umar susah bernafas. Ibu tiada pilihan terpaksa membawa Umar ke hospital. Ibu fikirkan Umar tidak akan ditahan di wad tetapi kerana pada saat itu jam telah menginjak ke pukul 1 pagi, maka Umar tetap ditahan. Doktor menyuruh kami pulang dahulu dan datang semula tengahari nanti.
Apabila Ibu datang semula melawat Umar tengahari esoknya, Ibu lihat badan Umar telah dimasukkan bermacam-macam jenis wayar dan juga dimasukkan tiub ke dalam mulut Umar. Ya Allah, saat itu, hati Ibu dan Ayah tidak keruan. Kami sangat menyesal kerana membawa Umar ke hospital. Kami sangkakan doktor tidak akan menahan Umar di wad dan kami membawa Umar ke hospital bertujuan untuk mendapatkan sedutan oksigen di dalam hidung Umar agar Umar senang bernafas. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Sepanjang di hospital, berbagai jenis rawatan yang diberikan kepada Umar yang Ibu kira semuanya sangat menyakitkan. Ibu lihat Ayah sudah seperti orang tidak betul dan asyik bergaduh dengan doktor. Ibu memarahi doktor dan menyuruh membuang tiub di dalam mulut Umar kerana Ibu akan memberi Umar minum susu seperti biasa.
Esoknya, Umar belum juga dapat keluar dari wad kerana Umar demam. Ibu lihat, anak Ibu dibiarkan bogel hanya memakai pampers sedangkan suhu bilik tersebut sangat sejuk. Sedangkan Ibu yang memakai 3 helai baju juga tidak dapat menahan kesejukan yang seolah-olah menggigit tulang temulang Ibu, inikan pula anak sekecil Umar hanya dibiarkan tanpa pakaian begitu. Lagi sekali, Ayah mengamuk dengan doktor di situ dan akhirnya Umar dibenarkan memakai baju dan memakai bedung. Ibu diberi keizinan oleh Doktor untuk menyusukan Umar setiap kali tiba waktu menyusu. Memang kami asyik bergaduh dengan doktor sepanjang di wad tersebut sehingga doktor di situ takut untuk berjumpa dengan Ayah Umar. Doktor pada mulanya ingin menghadkan pemberian susu terhadap Umar dan hanya memberi Umar susu setiap 3 jam sekali itupun dalam kuantiti yang sedikit tetapi mana mungkin begitu kerana Umar tentu lapar. Sekali lagi doktor terpaksa mengalah dengan Ibu dan menurut sahaja cakap Ibu. Kalau tidak, habis satu wad tu dengar Ibu atau Ayah bergaduh dengan Doktor.
Sepanjang di Hospital, bermacam-macam rawatan yang dibuat ke atas Umar. Ibu rasa Umar seolah-olah menjadi bahan ujikaji doktor sedangkan Ibu tahu anak Ibu tidak sakit. Umar cuma perlukan sedutan oksigen di hidung bagi memudahkan Umar bernafas dan tidak lebih dari itu. Esoknya, Ibu dan Ayah berjumpa dengan Ketua Doktor untuk membawa Umar pulang dan menanggung segala risiko yang berlaku sekiranya terjadi apa-apa ke atas Umar. Setelah mereka dan kami bersetuju, Ibu dan Ayah diarahkan menandatangani satu surat berserta pengakuan akan menanggung sebarang risiko yang bakal berlaku kerana doktor sebenarnya masih ingin menahan Umar di wad. Kami tekad pada saat itu kerana kami tidak sanggup lagi melihat Umar dicucuk di sana sini. Terdapat banyak kesan suntikan di tangan dan seluruh badan Umar dan kami juga tidak sanggup melihat Umar yang pada saat itu langsung tidak ceria dan asyik menangis. Ibu tahu saat itu, keluarkan Umar dari wad adalah jalan terbaik dan yakin Umar sudah sihat sepenuhnya.
Itupun semasa proses mengeluarkan Umar dari hospital, ada beberapa doktor yang menasihatkan Ibu agar meneruskan rawatan ke atas Umar apabila pulang ke rumah dan ada salah seorang doktor di situ yang ingin memberitahu sesuatu kepada Ibu tetapi membatalkan hasrat tersebut apabila melihat ayah datang. Doktor-doktor di situ sangat takut dengan ayah kerana ayah asyik memarahi doktor. Jangankan doktor, Ketua Doktor turut menjadi mangsa kemarahan Ayah.
Pulang sahaja ke rumah, barulah Ibu nampak Umar mula bersemangat dan kembali riang. Ibu yakin Umar sihat dan tidak punya apa-apa komplikasi yang teruk. Hati dan nurani Ibu mana mungkin dapat disangkal walaupun oleh doktor yang mengaku tahu segalanya.
Selepas sahaja pulang dari hospital, setiap kali Umar mempunyai kahak yang banyak, Ibu membawa Umar ke Poliklinik Puteri dan Surgery dan di situ ada perkhidmatan untuk menyedut oksigen ke hidung bagi memudahkan Umar bernafas. Setelah itu, Ibu jadikan poliklinik tersebut sebagai klinik panel untuk Umar. Dan Ibu lihat perkembangan Umar seterusnya sangat memuaskan dan alhamdulillah sekarang tiada sebarang masalah kahak atau susah bernafas lagi. Umar juga tidak muntah-muntah lagi. Syukur kepada-Mu Ya Allah kerana mengurniakan kesihatan yang baik buat anakku, Muhammad Umar Hamzah.. Semoga Umar akan terus kekal sihat dan riang gembira selalu..
Ibu create this diary for him which is all story about Umar was written here. Ibu hope this diary will be great memories for him to be remembering when he grows up.
No comments:
Post a Comment