Hari ni merupakan 15 Oktober 2010 dan genaplah umur Umar 1 tahun. Terasa seolah-olah sangat cepat masa berlalu dan baru semalam Ibu melihat Umar lahir. Bila Ibu dukung Umar, Ibu selalu terfikir "Cepatnya anak Ibu membesar" Kalau dahulu, bila sahaja Ibu letak Umar tidur berbaring di atas sofa, Ibu langsung tidak risau malahan Ibu boleh membuat kerja dengan tanpa rasa takut Umar akan jatuh kerana Umar belum pandai bergerak tetapi sekarang Ibu perlu memberi tumpuan yang lebih kepada Umar kerana Umar sangat aktif. Pantang Ibu alpa, pasti ada-ada aja benda yang Umar akan capai dan masukkan ke dalam mulut. Pantang sahaja Ibu alpa, Umar merangkak dengan pantas ingin keluar rumah. Pantang sahaja Ibu alpa, Umar telah memanjat sofa dan berdiri di atas sofa. Pantang sahaja Ibu alpa, Umar sedang berusaha keluar sendiri dari buaian dan pantang sahaja Ibu alpa, Umar mula naik dan turun sendiri dari walker. Tetapi semua perkembangan diri Umar adalah satu anugerah buat Ibu. Ibu sangat bersyukur kerana melihat Umar membesar di hadapan mata Ibu, dalam jagaan Ibu.
Semua perkara yang Umar lakukan tidak pernah mengundang rasa bosan di dalam hati Ibu tetapi Ibu sangat bahagia dan keletah Umar benar-benar mencuit hati Ibu. Umar yang Ibu kenal, adalah seorang yang suka menggembirakan orang lain dan sangat suka berjenaka. Suka sekali membuat sesuatu yang mencuri tumpuan dan membuatkan orang lain ketawa. Kerana bukan hanya Ibu yang menyayangi Umar, malahan ramai lagi yang menyayangi Umar dan Ibu sangat bersyukur kerana Umar dilimpahi kasih sayang yang tidak pernah putus-putus.
Umar anakku, Ibu sedar, kehadiran Umar dalam hidup Ibu adalah satu pinjaman buat Ibu dan merupakan amanah yang besar terpikul di bahu Ibu dan Ayah. Ibu dan Ayah akan cuba mendidik Umar mengikut acuan yang betul dan jalan yang lurus. Sekiranya Ibu leka atau alpa, semoga Umar tidak terpesong dan tetap berada di jalan yang lurus dan semoga Ibu dan Ayah tidak membuat sebarang kesilapan dalam membesarkan Umar menjadi anak yang baik dan hamba yang soleh.
Suatu hari nanti, apabila Umar mula pandai membaca, Ibu harap Umar akan membaca setiap hasil tulisan Ibu ini dan Umar mengerti betapa dalamnya kasih sayang Ibu buat Umar yang mana sekiranya nyawa dapat Ibu pertaruhkan, Ibu akan pertaruhkan asal sahaja melihat anak Ibu bahagia.
Ibu tidak mengharapkan sebarang balasan dari Umar tetapi yang Ibu harapkan, doa yang tidak putus dari anak Ibu untuk kesejahteraan Ibu dan Ayah dan semoga kasih sayang Umar terhadap Ibu dan ayah tidak akan pernah pudar walaupun suatu hari nanti Umar punya kehidupan sendiri dan tidak lagi tinggal bersama kami. Masa tu mungkin Ibu dan Ayah sudah tua dan Umar sudah punya kehidupan sendiri tetapi Ibu harap Umar tidak akan pernah sekali melupakan Ibu.... Amin..
No comments:
Post a Comment