Friday, October 15, 2010

Happy Birthday Umar..

Hari ni merupakan 15 Oktober 2010 dan genaplah umur Umar 1 tahun. Terasa seolah-olah sangat cepat masa berlalu dan baru semalam Ibu melihat Umar lahir. Bila Ibu dukung Umar, Ibu selalu terfikir "Cepatnya anak Ibu membesar" Kalau dahulu, bila sahaja Ibu letak Umar tidur berbaring di atas sofa, Ibu langsung tidak risau malahan Ibu boleh membuat kerja dengan tanpa rasa takut Umar akan jatuh kerana Umar belum pandai bergerak tetapi sekarang Ibu perlu memberi tumpuan yang lebih kepada Umar kerana Umar sangat aktif. Pantang Ibu alpa, pasti ada-ada aja benda yang Umar akan capai dan masukkan ke dalam mulut. Pantang sahaja Ibu alpa, Umar merangkak dengan pantas ingin keluar rumah. Pantang sahaja Ibu alpa, Umar telah memanjat sofa dan berdiri di atas sofa. Pantang sahaja Ibu alpa, Umar sedang berusaha keluar sendiri dari buaian dan pantang sahaja Ibu alpa, Umar mula naik dan turun sendiri dari walker. Tetapi semua perkembangan diri Umar adalah satu anugerah buat Ibu. Ibu sangat bersyukur kerana melihat Umar membesar di hadapan mata Ibu, dalam jagaan Ibu.

Semua perkara yang Umar lakukan tidak pernah mengundang rasa bosan di dalam hati Ibu tetapi Ibu sangat bahagia dan keletah Umar benar-benar mencuit hati Ibu. Umar yang Ibu kenal, adalah seorang yang suka menggembirakan orang lain dan sangat suka berjenaka. Suka sekali membuat sesuatu yang mencuri tumpuan dan membuatkan orang lain ketawa. Kerana bukan hanya Ibu yang menyayangi Umar, malahan ramai lagi yang menyayangi Umar dan Ibu sangat bersyukur kerana Umar dilimpahi kasih sayang yang tidak pernah putus-putus.

Umar anakku, Ibu sedar, kehadiran Umar dalam hidup Ibu adalah satu pinjaman buat Ibu dan merupakan amanah yang besar terpikul di bahu Ibu dan Ayah. Ibu dan Ayah akan cuba mendidik Umar mengikut acuan yang betul dan jalan yang lurus. Sekiranya Ibu leka atau alpa, semoga Umar tidak terpesong dan tetap berada di jalan yang lurus dan semoga Ibu dan Ayah tidak membuat sebarang kesilapan dalam membesarkan Umar menjadi anak yang baik dan hamba yang soleh.

Suatu hari nanti, apabila Umar mula pandai membaca, Ibu harap Umar akan membaca setiap hasil tulisan Ibu ini dan Umar mengerti betapa dalamnya kasih sayang Ibu buat Umar yang mana sekiranya nyawa dapat Ibu pertaruhkan, Ibu akan pertaruhkan asal sahaja melihat anak Ibu bahagia.

Ibu tidak mengharapkan sebarang balasan dari Umar tetapi yang Ibu harapkan, doa yang tidak putus dari anak Ibu untuk kesejahteraan Ibu dan Ayah dan semoga kasih sayang Umar terhadap Ibu dan ayah tidak akan pernah pudar walaupun suatu hari nanti Umar punya kehidupan sendiri dan tidak lagi tinggal bersama kami. Masa tu mungkin Ibu dan Ayah sudah tua dan Umar sudah punya kehidupan sendiri tetapi Ibu harap Umar tidak akan pernah sekali melupakan Ibu.... Amin..

Monday, August 30, 2010

27 & 28 August 2010


Kali ini Ibu tidak ingin berceloteh panjang kerana Ibu ada mengambil gambar Umar sepanjang 2 hari di rumah bersama Ibu. Sila lihat di bawah:
 Umar bermain-main dengan bayang-bayang di dinding.

Pandai betul anak Ibu bergaya bila nampak kamera.
CakkkkKkk!!!

Umar sibuk memanjat sementara menunggu Ibu menyiapkan air mandian Umar.

 Sibuk betul dia nak tekan suis di tv tu.

Seronoknya kalau dapat mandi. Pantang jumpa air mesti dia melonjak-lonjak.

 Gosok gigi guna dua-dua tangan ke baby??

 Ibu, macam ni ke gosok gigi?

Hobi Umar tengok tv. Tak kisahlah cerita apa-apa pun tapi malam tadi Umar tengok cerita hantu. Bila part hantu keluar aja, Umar cepat2 lari dekat Ayah. Hehehe

 Time to sleep, ok..

Dah bangun. Dah mandi. Time to play. Oh ada kunci lah atas lantai. Gigit kuncilah. Abaikan yer kain kat atas sofa tu. Ibu baru sahaja angkat.
Dah malam la. Tapi nak tido ke tak nak ni? Ibu dan Ayah belum tido. Xmo tido lagi lah.

Adoi, mcm mana ni. Nak tido ke tak ni?
Ibu, jom teman Umar tido.
Jomlah. Umar dah ngantuk ni.
Arghhh.. ngantuknya..

At last, Umar tidur lambat jugak. Pukul 1 pagi baru Umar tidur. Maklumlah Ayah & Ibu pun tidur lambat. Hehehe


Friday, August 27, 2010

26 August 2010

Ibu mengambil Umar agak lewat dari biasa dan semasa Ibu sampai, Umar kelihatan bermain-main di dalam walker. Ibu membawa Umar ke kedai dahulu membeli sayur sebelum singgah membeli air soya dan seterusnya pulang ke rumah. Nasib baik Umar baik hari ini dan tidak mengacau Ibu memasak di dapur. Ayah pulang setelah Ibu hampir siap memasak.

Umar makan dengan berselera sekali dan selepas makan, menyusu badan Ibu pula. Ibu risau juga kalau-kalau Umar muntah kerana Ibu takut Umar terlalu kenyang nanti. Tetapi sekiranya tidak kasi, Umar menangis nanti.

Selepas sahaja Ibu dan Ayah makan, kita semua ke kedai Telefon untuk mengambil handphone Ayah. Masuk sahaja kereta, Umar terus tido di atas ribaan Ayah. Bukan Umar seorang sahaja yang tidur, Ayah turut tidur lena sehinggalah Ibu selesai segala urusan (mengambil handphone, mengeluarkan duit di ATM dan membeli sayur) dan sampai di rumah, barulah Umar dan Ayah bangun.

Ayah sibuk pula ingin mengemas rumah, lalu Ibu cuba menidurkan Umar tetap jua Umar tidak mahu tidur. Umar tidur setelah jam menunjukkan pukul 12 malam dan Ibu dan Ayah tidur selepas Umar tidur.

Wednesday, August 25, 2010

25 August 2010

Umar kelihatan gembira sekali di rumah Mak dan masih juga bermain-main walaupun telah nampak kelibat Ibu. Apabila Ibu lihat ada keceriaan pada wajah Umar, Ibu yakin Umar sudah mula minum susu. Ibu berlengah-lengah di rumah Mak sambil membaca surat khabar dan lebih kurang pukul 6.38 petang, semasa sedang membawa Umar ke kereta, Ayah menelefon menyuruh Ibu mengambil Ayah.

Hubungan Ibu dan Ayah masih belum juga baik selepas peristiwa pagi tadi tetapi tidak mengapalah. Ibu tidak pula berniat memujuk Ayah kerana Ibu tahu tiada guna memujuk. Ayah akan lebih marah. Lebih baik mendiamkan diri sahaja dan menunggu sehingga Ayah reda sendiri.

Selepas mengambil Ayah, kita pulang ke rumah. Umar tertidur sepanjang di dalam kereta apatah lagi Ibu membacakan surah-surah yang Ibu hafal sepanjang perjalanan mengambil Ayah.

Di rumah, Ayah langsung tidak menegur Ibu, apatah lagi menegur Umar. Seolah-olah kita tidak wujud di rumah itu. Biarlah, biar kemarahan Ayah reda dahulu. Apabila sahaja Ayah tidur, Ibu bermain-main dengan Umar. Menemankan Umar bermain. Sehinggalah Uncle Arif datang menghantar kereta dan Ayah bangun semula. Ayah berbual-bual dengan Uncle Arif di luar sementara Ibu menyusukan Umar dengan harapan Umar tidur. Ibu tidak sedar bila Umar tidur. Yang pasti, Ibu mesti bangun awal esok harinya kerana Ibu perlu mengejutkan Ayah untuk ke tempat kerja.

24 August 2010

Semalam Ibu terlambat mengambil Umar kerana Cheq Sue nak ke Bazaar Ramadhan dulu. Seboleh-bolehnya Ibu tidak mahu melencong ke mana-mana dan terus ingin mengambil Umar tapi Ibu sangat sedar bahawa Ibu meminjam kereta Cheq Sue, maka terpaksa juga Ibu menghantar Cheq Sue ke Bazaar dahulu membeli juadah berbuka. Mak mula menelefon Ibu apabila Ibu tidak juga sampai. Ibu segan juga pada Mak kerana Mak ingin memasak menyiapkan juadah berbuka untuk keluarganya. Sesampainya di rumah Mak, Umar sedang tidur dengan nyenyak. Ibu lihat ruam di badan Umar semakin banyak. Ibu sangat risau tetapi Mak cakap, itu biasa sahaja kerana Umar baru baik dari demam.

Tetapi Ibu tekad juga untuk membawa Umar ke klinik kerana Ibu tahu kulit Umar agak sensitif. Jadi, Ibu perlu mengambil ubat 'Econazine' untuk kulit Umar. Bila sahaja Ibu nampak ada sesuatu yang luar biasa pada diri Umar atau Umar sakit, Ibu tidak akan sekali-kali berlengah dari membawa Umar ke klinik kerana Ibu sekadar menjalankan tanggungjawab Ibu. Apa jua yang Ibu rasa Umar perlu dibawa ke klinik, Ibu akan tetap bawa Umar ke klinik, walaupun pada pandangan orang lain, perkara itu biasa bagi seorang budak. Kerana Ibu bukan Doktor dan nyawa anak Ibu sangat berharga bagi Ibu. Tidak boleh ditukar ganti dengan apa jua pun. Jadi Ibu tidak mahu kerana kecuaian Ibu tidak merujuk perkara-perkara tertentu kepada yang pakar, Ibu akan menyesal di kemudian hari.

Lantas, selepas sahaja berbuka, Ibu membawa Umar ke klinik. Sebelum itu, Ibu pergi ke kedai handphone dahulu untuk membaiki handphone Ayah yang tiba-tiba sahaja tidak dapat membaca simcard. Ibu yakin Ayah akan pulang lambat hari ini, lantas tidak memberikan kunci rumah kepada Jiran. Di klinik, Ibu berjumpa dengan Abg Mat, Kak Hasmah dan Ila. Rupanya semasa kami sama-sama keluar dari rumah tadi, kami menuju ke tempat yang sama. Umar diambil oleh Nenek Hasmah. Tidak pula Umar menangis. Mula-mula sahaja Umar merengek tetapi terus diam apabila diusik oleh mereka.

Selesai sahaja mengambil ubat, Ibu membawa Umar pulang ke rumah. Itupun selepas ke kedai membeli Nasi Daging Kicap untuk Ayah. Hasrat Ibu untuk memasak hari ini tidak kesampaian kerana mengejar masa. Di rumah, Umar tidak merengek dan tidak menangis. Sebaliknya Umar sudah mula mahu makan. Ibu sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Umar yang seolah-olah mendengar luahan hati Ibu. Sayang anak Ibu. Tadi Mak bagitau Ibu, Umar minum susu tepung 3 kali dalam kuantiti yang banyak. Alhamdulillah.

Umar, Ibu ingin ucapkan terima kasih kerana Umar seolah-olah mendengar luahan hati Ibu dan Umar sudah mula mahu makan dan mula mahu minum susu tepung. Terima kasih yer Sayang kerana Ibu tidak perlu bersusah-susah pulang waktu tengahari menyusukan Umar lagi. Bukan Ibu merungut kerana penat berulang-alik tetapi Ibu ingin Umar belajar berdikari. Ibu ingin Umar tidak terlalu bergantung kepada Ibu. Umar semakin membesar dan persediaan untuk minum susu tepung itu amat perlu sekiranya Ibu perlu ke luar kawasan atas urusan kerja. Love u, Umar..

Ayah pulang ke rumah sangat lambat iaitu lebih kurang pukul 11.30 malam. Ayah sempat bermain-main dengan Umar. Umar tidur apabila jam sudah menunjukkan ke pukul 1 lebih. Semoga Umar tidur nyenyak yer sayang.

Tuesday, August 24, 2010

23 August 2010

Ibu menunggu Umar agak lama di depan rumah Mak kerana Mak sedang membersihkan Umar. Ibu lihat wajah Umar macam lain dari lain tetapi Ibu tidak pasti kenapa. Pulang ke rumah, Umar bermain-main sendirian sambil Ibu memasak Kung Pao Chicken. Mujurlah Umar tidak mengganggu Ibu memasak seperti selalu. Ada juga Umar merangkak berdekatan kaki Ibu dan memaut kaki Ibu tetapi asalkan Umar tidak menangis, Ibu membiarkan sahaja.

Setelah siap memasak, Ibu ingin menyuap Umar makan tetapi seperti hari sebelum-sebelumnya, Umar mengamuk dan dengan sekuat tenaga ingin melepaskan diri dari Ibu. Sebenarnya Ibu sangat kecewa dan agak marah melihatkan perangai Umar begitu. Umar menangis sekuat hati dan biarpun Ibu menyuap juga bubur ke mulut Umar, Umar tidak mahu menelan. Kadang-kadang Ibu pelik kenapa Umar bersikap begitu dan tidak mahu makan apabila dengan Ibu. Hampir jua menitis air mata Ibu kerana Ibu sedih diperlakukan begitu oleh Umar.

Ibu juga sedih kerana Umar tidak mendengar kata Ibu. Apabila dipujuk, Umar tetap juga menangis dan mengamuk. Umar tidak menghiraukan Ibu dan walaupun dimarahi Ayah, Umar tetap keras hati tidak mahu makan. Apabila disuakan susu Ibu, baru Umar dengan laju minum susu Ibu. Ibu sebenarnya sangat sedih tetapi Ibu tidak tahu kenapa Umar bersikap begitu. Bersama Mak, Umar makan dengan berselera sekali. Tetapi dengan Ibu, Umar tidak mahu makan langsung.

Adakah kerana Umar ingin membalas dendam dengan meminum susu Ibu sahaja? Sedangkan Ibu datang menyusukan Umar semasa tengahari. Selepas Umar penat bermain, Ibu menidurkan Umar di dalam buai. Umar tidur setengah jam tetapi bangun semula dan tidak mahu tidur. Ibu telah pun tertidur dan Umar bermain sendirian. Entah pukul berapa Umar tidur, Ibu tidak pasti. Apa yang Ibu tahu, Umar mengganggu tidur Ibu dan menangis sahaja sepanjang malam seolah-olah tidak puas menyusu. Ibu yakin Umar lapar. Dan Ibu perasan muka dan badan Umar merah-merah seolah-olah ruam. Kerana itu agaknya Ibu lihat muka Umar lain dari biasa.

Bangun pagi, Umar menangis sahaja sehingga menyukarkan Ibu untuk bersiap ke tempat kerja. Kadang-kadang Ibu stress kerana Umar seolah-olah tidak mahu berenggang langsung dengan Ibu. Apabila perkara ini diajukan kepada kawan Ibu, kawan Ibu mengusulkan agar Umar ada adik dan kemanjaan Umar semakin berkurangan. Umar akan menjadi lebih matang apabila ada adik. Perkara itu seolah-olah ada benarnya. Ibu akan fikirkan tentang itu..

Monday, August 23, 2010

22 August 2010

Keadaan Umar tetap tidak berubah. Suhu badan Umar tetap di paras yang sama. Tidak juga mahu turun. Kemanjaan Umar tetap juga sama, tidak mahu berenggang langsung dengan Ibu. Selera Umar tetap juga tidak berubah, masih menutup mulut dengan rapat apabila Ibu ingin menyuap makanan dan menangis semahunya apabila dipaksa juga makan. Akhirnya apabila menjelang tengahari Umar tidak menjamah sebarang makanan, Ibu tiada pilihan lain terpaksa juga menelefon Mak dan meminta Mak memasak untuk Umar.

Selepas mandi, Ibu membawa beberapa ekor ikan bawal bersama lobak ke rumah Mak tetapi sesampainya di rumah Mak, Mak telah pun siap memasak bubur Umar. Apabila Mak menyuap bubur ke mulut Umar, walaupun dalam tangisan, Umar tetap juga makan. Tetapi apabila memandang Ibu, Umar tidak mahu makan. Terus ingin mendekati Ibu dan meminum susu Ibu. Akhirnya Ibu terpaksa keluar sebentar dan pulang semula selepas beberapa ketika bagi membolehkan Umar makan dengan tenang. Akhirnya habis juga satu mangkuk bubur Umar makan dan setelah Mak memandikan dan memakaikan baju buat Umar, Umar lena di pangkuan Ibu.

Ibu berbual-bual dengan Mak sambil kami menonton video-video rakaman pelbagai aksi Umar sambil diringi hilai tawa kami. Setelah Umar bangun dari tidur, Ibu membawa Umar pulang. Umar tidur nyenyak apabila Ibu memasukkan ke dalam buaian dan Ibu menghabiskan masa yang ada dengan mencuci kereta sementara menunggu Umar bangun.

Pada pukul 6.30 petang, semasa sedang memberi Umar makan, Atok dan Nenek Singapura datang dan membawa Umar jalan-jalan. Ibu dan Ayah sebenarnya berkira-kira untuk membawa Umar berjalan-jalan tetapi memandangkan Umar demam, terpaksalah Ibu membatalkan hasrat tersebut.

Pada sebelah malam, Ibu dan Ayah keluar mengisi minyak dan mencuci mata sebentar di Medan SOBB. Sebenarnya tiada apa yang menarik di situ dan kami pulang setelah 15 minit berada di situ.

Kami singgah di Restoran Pulai Jaya Emas dan makan di sana sambil Umar didukungi oleh Abang Tukang Masak di Restoran tersebut. Pulang sahaja ke rumah, Ibu dan Ayah bersiap-siap untuk tidur tetapi Umar tetap juga tidak mahu tidur dan akhirnya Ibu tidak perasan entah bila Umar tertidur. Itupun ayah perasan Umar mengigau sambil menyanyi. Hehe tidak sempat Ibu rakam kerana Ibu telah lena pada saat itu.