Friday, October 15, 2010

Happy Birthday Umar..

Hari ni merupakan 15 Oktober 2010 dan genaplah umur Umar 1 tahun. Terasa seolah-olah sangat cepat masa berlalu dan baru semalam Ibu melihat Umar lahir. Bila Ibu dukung Umar, Ibu selalu terfikir "Cepatnya anak Ibu membesar" Kalau dahulu, bila sahaja Ibu letak Umar tidur berbaring di atas sofa, Ibu langsung tidak risau malahan Ibu boleh membuat kerja dengan tanpa rasa takut Umar akan jatuh kerana Umar belum pandai bergerak tetapi sekarang Ibu perlu memberi tumpuan yang lebih kepada Umar kerana Umar sangat aktif. Pantang Ibu alpa, pasti ada-ada aja benda yang Umar akan capai dan masukkan ke dalam mulut. Pantang sahaja Ibu alpa, Umar merangkak dengan pantas ingin keluar rumah. Pantang sahaja Ibu alpa, Umar telah memanjat sofa dan berdiri di atas sofa. Pantang sahaja Ibu alpa, Umar sedang berusaha keluar sendiri dari buaian dan pantang sahaja Ibu alpa, Umar mula naik dan turun sendiri dari walker. Tetapi semua perkembangan diri Umar adalah satu anugerah buat Ibu. Ibu sangat bersyukur kerana melihat Umar membesar di hadapan mata Ibu, dalam jagaan Ibu.

Semua perkara yang Umar lakukan tidak pernah mengundang rasa bosan di dalam hati Ibu tetapi Ibu sangat bahagia dan keletah Umar benar-benar mencuit hati Ibu. Umar yang Ibu kenal, adalah seorang yang suka menggembirakan orang lain dan sangat suka berjenaka. Suka sekali membuat sesuatu yang mencuri tumpuan dan membuatkan orang lain ketawa. Kerana bukan hanya Ibu yang menyayangi Umar, malahan ramai lagi yang menyayangi Umar dan Ibu sangat bersyukur kerana Umar dilimpahi kasih sayang yang tidak pernah putus-putus.

Umar anakku, Ibu sedar, kehadiran Umar dalam hidup Ibu adalah satu pinjaman buat Ibu dan merupakan amanah yang besar terpikul di bahu Ibu dan Ayah. Ibu dan Ayah akan cuba mendidik Umar mengikut acuan yang betul dan jalan yang lurus. Sekiranya Ibu leka atau alpa, semoga Umar tidak terpesong dan tetap berada di jalan yang lurus dan semoga Ibu dan Ayah tidak membuat sebarang kesilapan dalam membesarkan Umar menjadi anak yang baik dan hamba yang soleh.

Suatu hari nanti, apabila Umar mula pandai membaca, Ibu harap Umar akan membaca setiap hasil tulisan Ibu ini dan Umar mengerti betapa dalamnya kasih sayang Ibu buat Umar yang mana sekiranya nyawa dapat Ibu pertaruhkan, Ibu akan pertaruhkan asal sahaja melihat anak Ibu bahagia.

Ibu tidak mengharapkan sebarang balasan dari Umar tetapi yang Ibu harapkan, doa yang tidak putus dari anak Ibu untuk kesejahteraan Ibu dan Ayah dan semoga kasih sayang Umar terhadap Ibu dan ayah tidak akan pernah pudar walaupun suatu hari nanti Umar punya kehidupan sendiri dan tidak lagi tinggal bersama kami. Masa tu mungkin Ibu dan Ayah sudah tua dan Umar sudah punya kehidupan sendiri tetapi Ibu harap Umar tidak akan pernah sekali melupakan Ibu.... Amin..

Monday, August 30, 2010

27 & 28 August 2010


Kali ini Ibu tidak ingin berceloteh panjang kerana Ibu ada mengambil gambar Umar sepanjang 2 hari di rumah bersama Ibu. Sila lihat di bawah:
 Umar bermain-main dengan bayang-bayang di dinding.

Pandai betul anak Ibu bergaya bila nampak kamera.
CakkkkKkk!!!

Umar sibuk memanjat sementara menunggu Ibu menyiapkan air mandian Umar.

 Sibuk betul dia nak tekan suis di tv tu.

Seronoknya kalau dapat mandi. Pantang jumpa air mesti dia melonjak-lonjak.

 Gosok gigi guna dua-dua tangan ke baby??

 Ibu, macam ni ke gosok gigi?

Hobi Umar tengok tv. Tak kisahlah cerita apa-apa pun tapi malam tadi Umar tengok cerita hantu. Bila part hantu keluar aja, Umar cepat2 lari dekat Ayah. Hehehe

 Time to sleep, ok..

Dah bangun. Dah mandi. Time to play. Oh ada kunci lah atas lantai. Gigit kuncilah. Abaikan yer kain kat atas sofa tu. Ibu baru sahaja angkat.
Dah malam la. Tapi nak tido ke tak nak ni? Ibu dan Ayah belum tido. Xmo tido lagi lah.

Adoi, mcm mana ni. Nak tido ke tak ni?
Ibu, jom teman Umar tido.
Jomlah. Umar dah ngantuk ni.
Arghhh.. ngantuknya..

At last, Umar tidur lambat jugak. Pukul 1 pagi baru Umar tidur. Maklumlah Ayah & Ibu pun tidur lambat. Hehehe


Friday, August 27, 2010

26 August 2010

Ibu mengambil Umar agak lewat dari biasa dan semasa Ibu sampai, Umar kelihatan bermain-main di dalam walker. Ibu membawa Umar ke kedai dahulu membeli sayur sebelum singgah membeli air soya dan seterusnya pulang ke rumah. Nasib baik Umar baik hari ini dan tidak mengacau Ibu memasak di dapur. Ayah pulang setelah Ibu hampir siap memasak.

Umar makan dengan berselera sekali dan selepas makan, menyusu badan Ibu pula. Ibu risau juga kalau-kalau Umar muntah kerana Ibu takut Umar terlalu kenyang nanti. Tetapi sekiranya tidak kasi, Umar menangis nanti.

Selepas sahaja Ibu dan Ayah makan, kita semua ke kedai Telefon untuk mengambil handphone Ayah. Masuk sahaja kereta, Umar terus tido di atas ribaan Ayah. Bukan Umar seorang sahaja yang tidur, Ayah turut tidur lena sehinggalah Ibu selesai segala urusan (mengambil handphone, mengeluarkan duit di ATM dan membeli sayur) dan sampai di rumah, barulah Umar dan Ayah bangun.

Ayah sibuk pula ingin mengemas rumah, lalu Ibu cuba menidurkan Umar tetap jua Umar tidak mahu tidur. Umar tidur setelah jam menunjukkan pukul 12 malam dan Ibu dan Ayah tidur selepas Umar tidur.

Wednesday, August 25, 2010

25 August 2010

Umar kelihatan gembira sekali di rumah Mak dan masih juga bermain-main walaupun telah nampak kelibat Ibu. Apabila Ibu lihat ada keceriaan pada wajah Umar, Ibu yakin Umar sudah mula minum susu. Ibu berlengah-lengah di rumah Mak sambil membaca surat khabar dan lebih kurang pukul 6.38 petang, semasa sedang membawa Umar ke kereta, Ayah menelefon menyuruh Ibu mengambil Ayah.

Hubungan Ibu dan Ayah masih belum juga baik selepas peristiwa pagi tadi tetapi tidak mengapalah. Ibu tidak pula berniat memujuk Ayah kerana Ibu tahu tiada guna memujuk. Ayah akan lebih marah. Lebih baik mendiamkan diri sahaja dan menunggu sehingga Ayah reda sendiri.

Selepas mengambil Ayah, kita pulang ke rumah. Umar tertidur sepanjang di dalam kereta apatah lagi Ibu membacakan surah-surah yang Ibu hafal sepanjang perjalanan mengambil Ayah.

Di rumah, Ayah langsung tidak menegur Ibu, apatah lagi menegur Umar. Seolah-olah kita tidak wujud di rumah itu. Biarlah, biar kemarahan Ayah reda dahulu. Apabila sahaja Ayah tidur, Ibu bermain-main dengan Umar. Menemankan Umar bermain. Sehinggalah Uncle Arif datang menghantar kereta dan Ayah bangun semula. Ayah berbual-bual dengan Uncle Arif di luar sementara Ibu menyusukan Umar dengan harapan Umar tidur. Ibu tidak sedar bila Umar tidur. Yang pasti, Ibu mesti bangun awal esok harinya kerana Ibu perlu mengejutkan Ayah untuk ke tempat kerja.

24 August 2010

Semalam Ibu terlambat mengambil Umar kerana Cheq Sue nak ke Bazaar Ramadhan dulu. Seboleh-bolehnya Ibu tidak mahu melencong ke mana-mana dan terus ingin mengambil Umar tapi Ibu sangat sedar bahawa Ibu meminjam kereta Cheq Sue, maka terpaksa juga Ibu menghantar Cheq Sue ke Bazaar dahulu membeli juadah berbuka. Mak mula menelefon Ibu apabila Ibu tidak juga sampai. Ibu segan juga pada Mak kerana Mak ingin memasak menyiapkan juadah berbuka untuk keluarganya. Sesampainya di rumah Mak, Umar sedang tidur dengan nyenyak. Ibu lihat ruam di badan Umar semakin banyak. Ibu sangat risau tetapi Mak cakap, itu biasa sahaja kerana Umar baru baik dari demam.

Tetapi Ibu tekad juga untuk membawa Umar ke klinik kerana Ibu tahu kulit Umar agak sensitif. Jadi, Ibu perlu mengambil ubat 'Econazine' untuk kulit Umar. Bila sahaja Ibu nampak ada sesuatu yang luar biasa pada diri Umar atau Umar sakit, Ibu tidak akan sekali-kali berlengah dari membawa Umar ke klinik kerana Ibu sekadar menjalankan tanggungjawab Ibu. Apa jua yang Ibu rasa Umar perlu dibawa ke klinik, Ibu akan tetap bawa Umar ke klinik, walaupun pada pandangan orang lain, perkara itu biasa bagi seorang budak. Kerana Ibu bukan Doktor dan nyawa anak Ibu sangat berharga bagi Ibu. Tidak boleh ditukar ganti dengan apa jua pun. Jadi Ibu tidak mahu kerana kecuaian Ibu tidak merujuk perkara-perkara tertentu kepada yang pakar, Ibu akan menyesal di kemudian hari.

Lantas, selepas sahaja berbuka, Ibu membawa Umar ke klinik. Sebelum itu, Ibu pergi ke kedai handphone dahulu untuk membaiki handphone Ayah yang tiba-tiba sahaja tidak dapat membaca simcard. Ibu yakin Ayah akan pulang lambat hari ini, lantas tidak memberikan kunci rumah kepada Jiran. Di klinik, Ibu berjumpa dengan Abg Mat, Kak Hasmah dan Ila. Rupanya semasa kami sama-sama keluar dari rumah tadi, kami menuju ke tempat yang sama. Umar diambil oleh Nenek Hasmah. Tidak pula Umar menangis. Mula-mula sahaja Umar merengek tetapi terus diam apabila diusik oleh mereka.

Selesai sahaja mengambil ubat, Ibu membawa Umar pulang ke rumah. Itupun selepas ke kedai membeli Nasi Daging Kicap untuk Ayah. Hasrat Ibu untuk memasak hari ini tidak kesampaian kerana mengejar masa. Di rumah, Umar tidak merengek dan tidak menangis. Sebaliknya Umar sudah mula mahu makan. Ibu sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Umar yang seolah-olah mendengar luahan hati Ibu. Sayang anak Ibu. Tadi Mak bagitau Ibu, Umar minum susu tepung 3 kali dalam kuantiti yang banyak. Alhamdulillah.

Umar, Ibu ingin ucapkan terima kasih kerana Umar seolah-olah mendengar luahan hati Ibu dan Umar sudah mula mahu makan dan mula mahu minum susu tepung. Terima kasih yer Sayang kerana Ibu tidak perlu bersusah-susah pulang waktu tengahari menyusukan Umar lagi. Bukan Ibu merungut kerana penat berulang-alik tetapi Ibu ingin Umar belajar berdikari. Ibu ingin Umar tidak terlalu bergantung kepada Ibu. Umar semakin membesar dan persediaan untuk minum susu tepung itu amat perlu sekiranya Ibu perlu ke luar kawasan atas urusan kerja. Love u, Umar..

Ayah pulang ke rumah sangat lambat iaitu lebih kurang pukul 11.30 malam. Ayah sempat bermain-main dengan Umar. Umar tidur apabila jam sudah menunjukkan ke pukul 1 lebih. Semoga Umar tidur nyenyak yer sayang.

Tuesday, August 24, 2010

23 August 2010

Ibu menunggu Umar agak lama di depan rumah Mak kerana Mak sedang membersihkan Umar. Ibu lihat wajah Umar macam lain dari lain tetapi Ibu tidak pasti kenapa. Pulang ke rumah, Umar bermain-main sendirian sambil Ibu memasak Kung Pao Chicken. Mujurlah Umar tidak mengganggu Ibu memasak seperti selalu. Ada juga Umar merangkak berdekatan kaki Ibu dan memaut kaki Ibu tetapi asalkan Umar tidak menangis, Ibu membiarkan sahaja.

Setelah siap memasak, Ibu ingin menyuap Umar makan tetapi seperti hari sebelum-sebelumnya, Umar mengamuk dan dengan sekuat tenaga ingin melepaskan diri dari Ibu. Sebenarnya Ibu sangat kecewa dan agak marah melihatkan perangai Umar begitu. Umar menangis sekuat hati dan biarpun Ibu menyuap juga bubur ke mulut Umar, Umar tidak mahu menelan. Kadang-kadang Ibu pelik kenapa Umar bersikap begitu dan tidak mahu makan apabila dengan Ibu. Hampir jua menitis air mata Ibu kerana Ibu sedih diperlakukan begitu oleh Umar.

Ibu juga sedih kerana Umar tidak mendengar kata Ibu. Apabila dipujuk, Umar tetap juga menangis dan mengamuk. Umar tidak menghiraukan Ibu dan walaupun dimarahi Ayah, Umar tetap keras hati tidak mahu makan. Apabila disuakan susu Ibu, baru Umar dengan laju minum susu Ibu. Ibu sebenarnya sangat sedih tetapi Ibu tidak tahu kenapa Umar bersikap begitu. Bersama Mak, Umar makan dengan berselera sekali. Tetapi dengan Ibu, Umar tidak mahu makan langsung.

Adakah kerana Umar ingin membalas dendam dengan meminum susu Ibu sahaja? Sedangkan Ibu datang menyusukan Umar semasa tengahari. Selepas Umar penat bermain, Ibu menidurkan Umar di dalam buai. Umar tidur setengah jam tetapi bangun semula dan tidak mahu tidur. Ibu telah pun tertidur dan Umar bermain sendirian. Entah pukul berapa Umar tidur, Ibu tidak pasti. Apa yang Ibu tahu, Umar mengganggu tidur Ibu dan menangis sahaja sepanjang malam seolah-olah tidak puas menyusu. Ibu yakin Umar lapar. Dan Ibu perasan muka dan badan Umar merah-merah seolah-olah ruam. Kerana itu agaknya Ibu lihat muka Umar lain dari biasa.

Bangun pagi, Umar menangis sahaja sehingga menyukarkan Ibu untuk bersiap ke tempat kerja. Kadang-kadang Ibu stress kerana Umar seolah-olah tidak mahu berenggang langsung dengan Ibu. Apabila perkara ini diajukan kepada kawan Ibu, kawan Ibu mengusulkan agar Umar ada adik dan kemanjaan Umar semakin berkurangan. Umar akan menjadi lebih matang apabila ada adik. Perkara itu seolah-olah ada benarnya. Ibu akan fikirkan tentang itu..

Monday, August 23, 2010

22 August 2010

Keadaan Umar tetap tidak berubah. Suhu badan Umar tetap di paras yang sama. Tidak juga mahu turun. Kemanjaan Umar tetap juga sama, tidak mahu berenggang langsung dengan Ibu. Selera Umar tetap juga tidak berubah, masih menutup mulut dengan rapat apabila Ibu ingin menyuap makanan dan menangis semahunya apabila dipaksa juga makan. Akhirnya apabila menjelang tengahari Umar tidak menjamah sebarang makanan, Ibu tiada pilihan lain terpaksa juga menelefon Mak dan meminta Mak memasak untuk Umar.

Selepas mandi, Ibu membawa beberapa ekor ikan bawal bersama lobak ke rumah Mak tetapi sesampainya di rumah Mak, Mak telah pun siap memasak bubur Umar. Apabila Mak menyuap bubur ke mulut Umar, walaupun dalam tangisan, Umar tetap juga makan. Tetapi apabila memandang Ibu, Umar tidak mahu makan. Terus ingin mendekati Ibu dan meminum susu Ibu. Akhirnya Ibu terpaksa keluar sebentar dan pulang semula selepas beberapa ketika bagi membolehkan Umar makan dengan tenang. Akhirnya habis juga satu mangkuk bubur Umar makan dan setelah Mak memandikan dan memakaikan baju buat Umar, Umar lena di pangkuan Ibu.

Ibu berbual-bual dengan Mak sambil kami menonton video-video rakaman pelbagai aksi Umar sambil diringi hilai tawa kami. Setelah Umar bangun dari tidur, Ibu membawa Umar pulang. Umar tidur nyenyak apabila Ibu memasukkan ke dalam buaian dan Ibu menghabiskan masa yang ada dengan mencuci kereta sementara menunggu Umar bangun.

Pada pukul 6.30 petang, semasa sedang memberi Umar makan, Atok dan Nenek Singapura datang dan membawa Umar jalan-jalan. Ibu dan Ayah sebenarnya berkira-kira untuk membawa Umar berjalan-jalan tetapi memandangkan Umar demam, terpaksalah Ibu membatalkan hasrat tersebut.

Pada sebelah malam, Ibu dan Ayah keluar mengisi minyak dan mencuci mata sebentar di Medan SOBB. Sebenarnya tiada apa yang menarik di situ dan kami pulang setelah 15 minit berada di situ.

Kami singgah di Restoran Pulai Jaya Emas dan makan di sana sambil Umar didukungi oleh Abang Tukang Masak di Restoran tersebut. Pulang sahaja ke rumah, Ibu dan Ayah bersiap-siap untuk tidur tetapi Umar tetap juga tidak mahu tidur dan akhirnya Ibu tidak perasan entah bila Umar tertidur. Itupun ayah perasan Umar mengigau sambil menyanyi. Hehe tidak sempat Ibu rakam kerana Ibu telah lena pada saat itu.

Sunday, August 22, 2010

21 August 2010

Ibu dan ayah tidak cukup tidur kerana menjaga Umar yang demam. Umar tidak mahu makan nestum mahupun bubur yang Ibu sediakan. Ibu sudah tidak tahu bagaimana lagi mahu memujuk Umar. Umar akan menangis dengan sekuat hati sekiranya Ibu tetap juga mahu memaksa Umar makan. Manakan Ibu tidak risau. Perut Umar mesti diisi dan Ibu juga sangat lapar kerana Umar hanya bergantung kepada susu Ibu.

Sejak malam tadi, suhu badan Umar mencecah 39.2 darjah. Kerisauan kami berganda. Ibu dan ayah mengelap badan Umar dengan air suam dan membiarkan tuala basah membaluti badan Umar. Kepala Umar juga dibaluti kain tuala yang basah. Setelah suhu badan Umar semakin berkurangan, Ibu membuka baju Umar dan membiarkan Umar diselimuti selimut agar badan Umar mula menghasilkan peluh. Ibu juga tidak memakai baju dan memeluk Umar erat agar suhu kepanasan badan Umar berpindah kepada Ibu.

Tetapi kelihatannya suhu badan Umar tidak juga berubah. Apabila menjelang malam, suhu badan Umar meningkat kembali. Ibu tiada pilihan lain, perlu juga membawa Umar ke klinik. Selepas sahaja berbuka, Ibu dan Ayah membawa Umar ke klinik. Umar agak ramah semasa di klinik dan menegur sesiapa sahaja tetapi pulang sahaja ke rumah, badan Umar kembali panas dan Ibu dan ayah sekali lagi bertungkus lumus menuam badan Umar dengan air sejuk. Kali ini Ibu memasukkan ubat ke dalam bontot Umar dan meletakkan koolfever di ketiak Umar.

Umar tidur dalam pelukan Ibu dan tidak mahu dilepaskan langsung.

Friday, August 20, 2010

20 August 2010

Bila sahaja Umar demam, Ibu mula tidak keruan. Hari ini, suhu badan Umar semakin meningkat dan badan Umar sangat panas. Ibu berat hati untuk pergi kerja hari ini tetapi terpaksa juga pergi kerana hari ini ada peperiksaan khas dan Ibu perlu menjadi pengawas peperiksaan.

Apabila menjelang waktu rehat sahaja, Ibu menerima sms dari Mak mengatakan Umar tidak mahu minum air masak juga tidak mahu makan. Ibu sememangnya sudah dalam perjalanan untuk mengambil Umar semasa pesanan ringkas dari Mak diterima. Sampai sahaja di rumah Mak, Ibu membawa Umar pulang. Lagipun rumah Mak tengah berselerak kerana terdapat kerja-kerja mengubahsuai rumah sedang dijalankan. Umar agak manja dengan Ibu dan seringkali merengek. Ibu memastikan Umar meminum susu Ibu dengan kenyang kerana Ibu perlu pergi ke tempat kerja semula.

Mujurlah hari ini hari jumaat dan waktu rehat Ibu agak panjang. Dan Umar tertidur di sebelah Ibu tetapi apabila bangun sahaja, Umar akan menangis mencari Ibu dan merengek-rengek.

Tatkala menghantar Umar ke rumah Mak, Umar menangis dengan kuat, tidak mahu ditinggalkan. Dan asyik menghulur tangan kepada Ibu. Maafkan Ibu, Sayang. Sekiranya tidak memikirkan tentang kerja, mahu sahaja Ibu terus berada di sisi Umar dan menjaga Umar. Ibu tahu Umar ingin sentiasa bersama Ibu tetapi Ibu tidak berdaya. Sebab itu, apabila Ibu pulang sahaja dari kerja, tidak pernah walau sekali Ibu membiarkan Umar terus berada di rumah orang. Walau penat sekalipun, Ibu akan memastikan Ibu mengambil Umar terlebih dahulu. Biarpun apabila sampai sahaja di rumah, banyak kerja-kerja rumah tidak dapat disiapkan kerana Umar ingin sentiasa berada dekat dengan Ibu. Tidak mengapa, Sayang kerana Umar adalah segalanya bagi Ibu. Bila Umar sudah tidur, baru Ibu akan mandi, mengemas rumah dan menyiapkan apa yang patut dan Umar tidak pernah sekali-kali menjadi beban buat Ibu tetapi Umar adalah anugerah buat Ibu.

Monday, August 16, 2010

16 August 2010

Sesampai sahaja di rumah Mak, Umar tiada di sana sebaliknya di rumah sebelah. Ini kerana, kerja-kerja pengubahsuaian rumah Mak sedang dijalankan. Umar kelihatan gembira sahaja dan boleh ketawa, Ibu yakin Umar sudah mula meminum susu tepung. Sekiranya tidak, Umar kelihatan sangat tidak bermaya dan hanya merengek.

Hari ini, Ibu mendengar berita gembira. Anak Ibu yang comel ni dah pandai menggosok gigi sendiri. Oh, Ibu tidak sabar untuk melihat Umar menggosok gigi sendiri di depan mata Ibu. Mesti sangat comel apabila Umar menggosok gigi.

Ibu bertanyakan Mak perihal batuk Umar yang makin berterusan dan Mak memberitahu Ibu, Umar kurang sedikit batuk hari ini. Tetapi pada sebelah malam, Umar tidak dapat tidur lena dan masih batuk-batuk. Padahal Ibu telah memberikan Umar ubat batuk. Ibu pening memikirkan punca sebenar Umar mengalami batuk berterusan. Sekiranya disebabkan oleh air, Ibu telah membekalkan Mak dengan air yang telah ditapis dibawa siap dari rumah. Sekiranya disebabkan oleh bubur yang dimasak Mak, Ibu fikir itu tidak mungkin sama sekali. Ibu hanya berharap agar Ibu akan dapat mencari jawapan kepada punca sebenar Umar batuk berterusan begitu dan kadang-kadang agak menakutkan Ibu.

Friday, August 13, 2010

13 August 2010

Waktu rehat, Ibu keluar awal kerana hari ni hari jumaat. Ibu pergi susukan Umar. Umar nampak Ibu aja, Umar mula menangis-nangis nak dengan Ibu aja. Lepas dah susukan, Umar main-main. Pastu Mak kasi Umar makan. Ibu tengok Mak kasi Umar makan banyak sangat. Bila Umar nangis, Mak suap jugak. Bila Ibu tengok Umar menangis aja tak berhenti, Ibu ambil Umar dan nak susukan. Baru Ibu nak susukan, Umar muntah dengan banyak. Semua yang Umar makan Umar muntahkan balik. Habis kotor baju Ibu. Lepas muntah, Umar batuk dengan teruk. Ibu tekad nak bawak Umar ke klinik jugak. Ibu bawak Umar pulang ke rumah dan selepas menyalin baju, Ibu terus bawak Umar ke klinik. Umar diberi 4 jenis ubat, ubat batuk, demam, alahan dan antibiotik.

Lepas ke klinik, Ibu bawak Umar ke ofis. Ibu sembunyikan Umar dekat Bilik Fail. Hehehe Umar tidur lama jugak dalam Bilik Fail. Yang lucunya, Ibu kan seludup Umar sembunyi-sembunyi masuk Bilik Fail dan Ibu pura-pura sibuk buat kerja dalam Bilik Fail. Sekali bos Ibu panggil coz dia cakap, Ibu tak perlu kemas Bilik Fail dulu, Ibu kena buat kerja dekat Unit Ibu dulu. Ibu baru nak temankan Umar. Kebetulan ofis Ibu tengah busy dengan 5S. So buat gotong-royong 5S jerlah. Kesian Umar coz Ibu terpaksa tinggalkan Umar sorang-sorang dalam Bilik Fail. Kalau Ibu bawak nanti bos Ibu tahu.

Lama juga Ibu tinggalkan Umar. Sekali Cik Iella panggil Ibu coz Umar dah menangis-nangis dalam Bilik Fail. Bila Ibu pergi angkat Umar aja, anak Ibu terus diam. Anak Ibu boleh main-main dalam Bilik Fail.

Umar tahu tak, Ibu kalau boleh nak Umar ada bersama Ibu aja tapi apakan daya. Ibu kena kerja, Sayang. Ibu harap akan tiba satu saat di mana Umar akan sentiasa berada di sisi Ibu. Tunggulah Umar besar sikit dah pandai berjalan, bolehlah Ibu bawak Umar coz masa tu Umar dah pandai. Ibu suruh diam pun Umar pandai diam. Ibu suruh Umar sembunyi pun Umar pandai. Sabar yer, Sayang. Umar kecik lagi..

Thursday, August 12, 2010

12 August 2010

Umar batuk agak teruk sejak semalam. Perkara ini sangat merunsingkan hati Ibu. Semalam Umar batuk lagi dan selepas tu Umar muntah. Banyak lendir-lendir yang keluar. Ibu tak tahu itu petanda baik atau buruk. Dan pagi tadi semasa Ibu menghantar Umar ke rumah Mak, Umar batuk-batuk lagi. Ibu sangat risau. Mungkin tengahari nanti Ibu akan menghantar Umar ke klinik.

Pagi tadi Ibu bangun awal dan sempat menyiapkan bubur untuk Umar. Semoga Umar suka makan bubur yang Ibu buat ok, baby.

Lagi 3 hari Umar akan menginjak ke umur 10 bulan. Ibu perasan anak Ibu sangat cerdik. Dan sudah nampak sifat-sifat yang ada pada diri Umar. Apa yang Ibu nampak, Umar seorang yang tidak pernah kenal erti putus asa. Kenapa Ibu cakap macam ni, kerana Ibu perasan sekiranya Umar inginkan sesuatu, Umar akan cuba mendapatkannya walau dengan apa cara sekalipun dan walaupun ada halangan menghalang, Umar tetap tidak putus asa dan akan tetap mendapatkan apa yang Umar inginkan.

Contohnya seperti semalam, Umar ingin mengambil kertas di atas meja. Setiap kali Umar berdiri dan memapah meja dan telah hampir mendapat kertas tersebut, Ayah membaringkan Umar semula di atas tilam. Ayah melakukan perkara sama berulang-ulang kali dan Ibu tengok Umar langsung tidak kenal erti penat atau mengalah. Umar tetap berusaha untuk berdiri semula, memapah meja semula dan cuba juga mengambil kertas tersebut. Ibu kira Ayah membaringkan Umar di atas tilam lebih dari 10 kali dan anak Ibu tak sekali-kali mengalah. Keperibadian yang bagus.

Selain itu, Ibu tengok anak Ibu sangat berhati-hati apabila melakukan sesuatu. Contohnya, Ibu perasan setiap kali anak ibu berdiri dan memapah dinding atau meja atau apa jua, Umar akan berhati-hati untuk duduk semula. Dan cuba menggapai apa-apa yang Umar fikirkan selamat untuk duduk untuk mengelakkan dari Umar terjatuh. Ada sekali Ibu perasan Umar berdiri dengan lama dan sedang mencari apa-apa untuk berpaut sebelum duduk. Begitu juga apabila Umar memanjat tangga, Ibu perasan Umar akan perlahan-lahan menurunkan kaki dahulu untuk turun semula ke bawah. Satu sifat yang bagus. Ibu harap sifat-sifat yang baik yang ada pada diri Umar akan berterusan sehingga Umar dewasa kelak dan sehingga akhir hayat Umar.

Tetapi Ibu tidak berkenan dengan sifat Umar yang cerewet. Ibu tengok sejak kecil lagi Umar cerewet dari segi makan. Dulu, Ibu sering memberi Umar makan nestum beras. Kadang-kadang Ibu membeli nestum Beras dan Ikan bilis, Beras dan Buah-buahan tetapi Umar cuma makan nestum beras sahaja dan tidak akan makan selain dari itu. Dan sekarang Mak memasak bubur untuk Umar setiap hari. Sekarang Umar sudah tidak mahu lagi memakan nestum beras tetapi hanya ingin memakan bubur dan bubur tersebut mesti sama seperti yang Mak masak. Ibu harap Umar akan makan bubur yang Ibu masak pagi tadi yer.

Oklah, Ibu nak siapkan kerja Ibu dulu. Will be continue later.

Thursday, August 5, 2010

05 August 2010

Umar semakin manja dengan Ibu. Seolah-olah tidak mahu berenggang langsung dengan Ibu. Mak membekalkan Umar dengan bubur nasi kerana Umar sudah tiga kali membuang air besar pada hari ini. Umar sangat beruntung mempunyai Mak yang sangat baik hati. Masuk sahaja ke dalam rumah, Ibu meletakkan Umar di atas tilam dan Ibu ke tandas mencuci kaki. Ditinggalkan beberapa saat sahaja, Umar menangis sekuat hati sambil duduk betul-betul di hadapan pintu. Mungkin pada fikirannya, Ibu telah keluar meninggalkan Umar.

Umar sayangku,

Selagi hayat dikandung badan, Ibu tidak akan sekali-kali meninggalkanmu, nak. Umar adalah nyawa Ibu. Ibu tak boleh hidup tanpa Umar. Tak mungkin sekali-kali Ibu meninggalkan Umar melainkan maut dan ajal memisahkan kita.

Wednesday, August 4, 2010

04 August 2010

Ibu pulang ke rumah tanpa mengambil Umar kerana Umar mengikut Mak & Abah ke TESCO Bukit Indah. Ibu menanti kepulangan Umar dengan tidak sabar. Maklumlah ini pertama kali Ibu pulang awal tanpa mengambil Umar terlebih dahulu. Ibu asyik memandang jam kerana tidak sabar menunggu Umar pulang. Dua kali Ibu menelefon Mak dan Mak memberitahu akan menghantar Umar selepas memberi Umar makan. Lebih kurang pukul 8.45 malam baru Mak menghantar Umar. Susu Ibu sudah banyak dan asyik mengalir. Sampai sahaja Umar, Ibu terus menyusukan Umar. Rindu betul Ibu dengan Umar.

Sepanjang Umar tiada walaupun sekejap, Ibu dapat rasakan bahawa jiwa Ibu seolah-olah kosong tanpa Umar. Ibu merasa sangat rindu dan seolah-olah kehilangan. Ibu terlalu sayangkan Umar. Umar satu-satunya anak Ibu. Semoga Umar tidak akan pernah melupakan Ibu apabila Umar dewasa kelak...

Tuesday, August 3, 2010

03 August 2010

Pulang sahaja dari kerja, Ibu membeli buah cempedak dan menghantar ke rumah Mak. Mak sudah berjanji untuk menggoreng cempedak tersebut dan menghantar ke rumah. Lebih kurang pukul 8.30 malam, Mak datang ke rumah bersama Abah. Masa tu, Umar macam tercekik sesuatu dan Mak cepat-cepat mendapatkan Umar. Mak membawa Baby Bites untuk Umar. Beruntung betul anak Ibu ni. Ini pertama kali Ibu mengenali Abah yang Ibu panggil Abang Pie dan ini pertama kali Umar berjumpa Abah. Ibu nampak Umar sangat manja berada dalam ribaan Mak sambil memakan Baby Bites. Ibu yakin Umar akan serasi bersama keluarga baru dan semoga berkekalan bersama keluarga baru. Amin.

Monday, August 2, 2010

02 August 2010

Hari ini adalah hari pertama Umar bersama babysitter baru. Entah kenapa hati Ibu rasa tenang. Mungkin kerana Ibu sangat yakin babysitter baru ini dapat menjaga Umar dengan baik. Umar menggelar Kak Ida sebagai Mak.

Hari pertama di rumah Mak, Ibu menelefon Mak dan Mak menceritakan tentang Umar yang tidak mahu memakan bubur yang sudah diblender. Sebaliknya Umar mahu memakan nasi lembik. Mak membuatkan Umar bubur nasi dan juga sup ikan dan sayur. Semasa makan, mulut Umar becok sekali dan setiap kali Mak lambat menyuap, Umar akan bising dan tangan Umar menunjukkan isyarat 'habis'. Hehe, Umar sangat cute. Ibu merasa sangat lucu apabila Mak memberitahu Ibu yang Umar ingin menghisap susu kakak dan asyik memandang breast kakak. Nakal yer anak Ibu. Ibu dengan kakak pun dah tak cam. Hehe