Hati kanak-kanak sememangnya bersih. Mereka terlalu mudah mengikut setiap apa yang kita lakukan. Samada yang baik mahupun yang buruk. Kerana mereka masih dalam proses mempelajari sesuatu yang baru. Sekiranya baik perlakuan kita, maka baiklah yang akan diikut oleh mereka, sekiranya perbuatan tidak baik menjadi amalan, maka anak-anak kecil akan mengikut perbuatan tidak baik yang dilakukan oleh orang dewasa.
Bagaimana dengan Umar? Umar juga tidak terkecuali. Ibu rasa Umar sangat beruntung kerana dijaga oleh Mak yang menitikberatkan soal kepentingan solat kepada setiap anak-anaknya. Dan apabila Ibu solat di rumah juga, Umar akan turut solat bersama Ibu. Dan satu perkembangan positif apabila Umar juga sudah pandai untuk solat sendirian tanpa melihat apa yang dilakukan oleh Ibu. Semasa video ini diambil, Umar telah terlebih dahulu solat di hadapan Ibu. Tidak sempat Ibu mengambil video Umar solat dengan sempurna iaitu dari bangun, rukuk dan sujud. Tatkala video ini diambil, Umar hanya sujud dan duduk sahaja, tidak bangun-bangun. Umar, Umar, lihatlah anakku, kamu sudah belajar solat sedari kamu kecil dan semoga tatkala kamu besar, kamu tidak bermalas-malasan untuk solat.